Ahad, 21 April 2013

Aku

Aku
Oleh: md share abd ghani

Akulah duniawan yang sukar di faham
Berakad dengan angin, berjanji dengan alam
Berbicara dalam kiam
Dan bercanda dengan kalam

Akulah yang pasti...
Yang selestarinya memesrai madah dan peri
Meranumi tutur, bicara dan puisi
Mengubal kekata menjadi halwa
Buat santapan minda dan jiwa
Moga terzahir niat berguna

Akulah pastinya jua
Yang lahir dari ajian berbeda
Dari adunan sang pencinta fakta
Kepada penyantun bait dan kekata
Kerna dari amatan kacamata
Setiap laku peristiwa
Pasti sekali punyai nilai kiasnya

Akulah nantinya
Mendikirkan nasihat sesantunnya
Mengejutkan lena yang alpa
Dengan kalimah tegas bermakna
Untuk ku kuliahkan hati dan minda
Siapa khalifah dan siapa penguasa
Dalam tadbir mengurus buana

Akulah yang sehayatnya teramanah
Dengan alQuran dan Sunnah
Menjejak redha mencari pasrah
Menjarak antara Jahanam dan Jannah
Untuk diriku keluarga dan ummah

Aku
Yang masih kekal bisu
Kelu dan terpaku
Keliru dalam menentu
Yang mula dan yang dahulu!

Isnin, 8 April 2013

bonda

Bonda
Oleh: md share abd ghani

Bonda
Senja ini rindu menerpa
Tika bayu mengusap nostalgia
Betapa kasih bonda
Mekar selama lamanya
Kan kuratib doa pusara
Dari kasihan Yang Maha Esa
Begitu kasih bonda
Sesegar susu dan airmata

Bonda
Sungguh jasadmu dipusara
Namun kasihmu subur didada
Bisik pesanmu masih mesra
Mengajar kita menjadi manusia
Kutinggalkan bonda bersama kemboja
Ganti diri selama ku tiada
Setiap sehelai gugur dedaunnya
Tanda ingatan buatmu bonda

Bonda
Untuk kesekian kita meminta
Izinkan susumu membasah dahaga
Relakan suaramu mendodoi lena
Maafkan kami membuatmu luka
Jikalau gugur siairmata
Angkara durja tingkah anakanda
Hujung kaki kehujung jemala
Kupohon keampunan darimu bonda

Bonda
Selama kami memburu dunia
Nasihat bonda kan jadi petua
Sedikit tidak akan melupa
Mengasuh keluarga menjunjung agama
Dan tika usai fardhuku yang lima
Untukmu bonda tak akan kulupa
Menghadiahkan bonda sebaris doa
Bekal kembara di dunia yang sana