Rabu, 24 Mei 2023

KADALUWARSA cinta tak lagi sudi bermukim desah rindu juga telah dikosongkan sunyi lama kau menanti sebuah rasa tak kunjung tiba telah kau peragakan mimpi lewat senyuman dari taman ke taman tak kau temui serasi selari membentur hati dirimu dirundung langka kadaluwarsa. Md Share Abd Ghani 21062023 Lobai: Darul Munajat Bangi Hakcipta©2023 @MdShare Semua Hak Terpelihara.

Rabu, 18 November 2015

GERIMIS DAN SEBARIS DOA

GERIMIS DAN SEBARIS DOA
Oleh : md share abd ghani

Seusai mengisi rohani
Kutegur alam di laman hadapan
Awanlara tampak mencuka
Cuma lelehnya belum merembes muka
Agaknya tuhan memusimkan kita
Dengan menyedia medan berdoa

Basahan semalam masih segar
Hijau pohonan berdiri tegar
Belimbing buluh di penjuru pagar
Lebat bertandan berbunga mekar
Rerumput ikut hijau menghampar
Menghulur pucuk panjang berjalar

Besar anugerah Yang Maha Esa
Mengagih kurnia saksama rata
Semua makhlok berkongsi sama
Bertanduk berpucuk semua merasa
Sungguhlah gerimis memberi makna
Mengingatkan kita yang sering alpa

Kembali aku ke dalam teratak
Dengan raga yang ranum bahagia
Bicara gerimis seakan kan tiba
Dibawa semilir yang baru dirasa
Kukatupkan pintu kurapatkan jendela
Kutekunkan membaca sebaris doa

Lobai: Tmn.Impian Putra
Bangi
181115

KITA TELAH SEPAKAT

KITA TELAH SEPAKAT
Oleh: md share abd ghani

Katamu
Sebelah manapun tebing yang kita berada
Bersyukurlah
Kerna kita masih di sungai yang sama
Kita telah sepakat
Tidak akan bertukar kiblat
Kita kongsikan mandian dan ikannya
Dan kita hanyutkan timba telagah
Biar menjadi tukun di muara sejarah

Katamu
Suatu hari nanti kita bangunkan jambatan ukhwah
Moga moga
Mampu kita berkongsi pucuk peku dan rebungnya
Kita telah sepakat
Untuk tidak menuba dan memukat
Demi menjaga
Kelestarian buana

Katamu
Sebelah manapun tebingnya kita
Asalnya
Tetaplah dari hulu yang sama
Kita telah sepakat
Untuk saling berkongsi hakikat

Lobai: IPPD Sepang
Salak Tinggi
171115

Sabtu, 14 November 2015

SESUDAH GERIMIS

SESUDAH GERIMIS
Oleh: md share abd ghani


Miliki semula hatiku
Atau bertatihlah untuk melupakan
Tiada kesal dan tak perlu, juga sebuah kemaafan
Dunia memangnya begitu
Lupakanlah kenangan yang lalu

Larik larik pelangi
Tumbuh sesudah gerimis
Jadilah berani
Dan berhentilah menangis
Milikilah hati ini
Usah biarkan aku mengemis

Dahulu dunia
Meniti di jari kita
Kenangan bersama
Betapa aku bahagia
Sekali badai tiba
Menduga setia dan asa

Dalam senja yang durja
Kusempatkan diri berdoa
Lupakanlah aku kiranya
Diriku tak lagi berharga

Lobai5981: Kmpg Bahagia
Bangi
151115

Jumaat, 13 November 2015

DEBAR

DEBAR
Oleh : md share abd ghani

Kita tak lagi
Mengongsi debar yang sama
Dan lagu lagu cinta
Tidak lagi dinyanyikan
Oleh bayu yang menyeka muka
Jarak semakin menjauh
Pandangan ikut mengeruh
Tinggal pintu hati
Yang kukatup dengan bertangguh

Dahulu kunyalakan bara
Dalam sekam cinta
Yang kukira nyalanya
Mampu menghangatkan raga
Mendakap keterasingan
Yang memisahkan kita

Kini
Tinggal pelepahan palma
Yang menemankan aku bercerita
Menguis memori yang merasuk sunyi
Debar yang bersadurkan rasa
Telah didamaikan oleh masa

Biar ku jerangkan sebuah nyanyian
Tentang debar yang pernah bertungku didalam dada

Lobai5981: Bukit Tampoi
Dengkil
131115

Selasa, 10 November 2015

SEBATANG ROKOK SEBUAH JAYA

SEBATANG ROKOK SEBUAH JAYA
Oleh: md share abd ghani

Kepul kepul asap mengabusi mimpi
Tidur si lelaki dengan api masih di jari
Mimpinya tentang jaya yang dipinangnya dengan janji
Dan api di jari yang akhirnya terpadam sendiri

Dia lelaki berani, tidak mudah ditakuti
Betapa mahal sigarnya, mahal lagi harga diri
Baginya cabaran adalah untuk ditakluki bukan ditakuti
Memadai sebuah jaya biarpun dalam bahaya
Selepas yang pertama sigar yang kedua pula dinyala

Dia lelaki yang kaya biarpun tak memiliki apa
Dengan sebatang rokok keyakinannyapun menokok
Hidup umpama jentera berapi serta berasap
Tanpa api dan asap kejayaannyapun lenyap

Lobai: Kmpg Ginching
Salak Tinggi
111115

Sabtu, 7 November 2015

AJAL

AJAL
Oleh: md share abd ghani

Bertanya akrabku kepadaku;
Kita telah bersahabat
Sejak matamu belum melihat
Mahukah kau istirahat
Kubawamu kesuatu tempat?

Lalu menjawablah aku
Antara mahu dan tidak mahu
Jika mahumu begitu, apakah dayanya aku!
Kubiarkan masa berlalu
Menanti dengan kelu

Akbrabku lantas menyambung
Tulus dan tidak bohong;
Aku telah berkenan
Malangnya belum diizinkan
Ternyata Penciptamu sayang
Memberi akanmu peluang

Syukur padaMu tuhan
Kerna masih memberi keizinan
Akrab yang aku tatang
Kekal ia berpantang
Bila masanya datang
Kunantinya dengan tenang

Lobai: Tmn. Impian Putra
Bangi
081115