Selasa, 29 Mac 2011

sepohon cinta, setulus setia

oleh md share pada 30 hb mac 2011 @ 1010 am



sungguhlah malangnya nasibmu pohon
memiliki ikatan yang tiada setia
antara dedaunan dan kelopak bunga
memiliki keduanya yang tiada lama
sampai ketika kan pergi juga
layu bunga kerna kehilangan serinya
lantaran madu dikecap sang rerama
gugurlah ia dari tangkainya
meninggalkan dirimu selama lamanya
sehingga musim yang baharu tiba

curangnya daun padamu pohon
memburu cintanya terhadap embun
jinak sang embun sejinak merpati
mencumbui daun setiap pagi
terbitnya mentari sang embun pergi
meninggalkan daun menjeruk hati
akhirnya layu gugur sendiri...

cintamu pohon akan keduanya
terkesan didahan akan parutnya
meninggalkan tampuk sebagai tanda
pernah dahulu sidia bertahta
walaupun cuma untuk seketika
agung cintamu walaupun derita
begitulah nasibmu akan ditinta
buat pedoman akal dan mata!

Isnin, 21 Mac 2011

biar kasih bersuara

.oleh Md Share Abd Ghani pada pada 22hb Mac 2011 pukul 1.14 ptg.


biarlah kasih bersuara
tentang hati yang curiga
sememangnya tiada sempurna
cinta antara manusia
segalanya sementara

biarlah kasih berbicara
tentang madu yang berbalas tuba
sememangnya kita manusia
terlalu mudah melupa
pada budi dan jasa

biarlah kasih bercerita
tentang jerih berumahtangga
sememangnya sebegitu rupa
berkorban jiwa dan raga
mengekalkan keharmoniannya

biarlah kasih berseloka
tentang harapan dan segala cita
sebegitu lakunya manusia
sekadar merancangkannya
selebihnya kehendak Dia

biarlah kasih bersuara
tentang semua cerita
berbicara dan berseloka
kita sedia mendengarnya
kerana kasihkannya sama!





.

aku hadir

aku hadir


.oleh Md Share Abd Ghani pada pada 21hb Mac 2011 pukul 10.10 ptg.

hati ingin berjanji
untuk menghadirkan diri
bagaimana agaknya nanti
pertemuan kan terjadi
pastinya diiringi emosi

pertemuan kali yang ini
kiranya hadirku nanti
biarlah memberikan seri
membawa seribu erti
nostalgia yang kembali

tertanya juga sendiri
pada usia yang begini
siapa kan ku kenali
tiada serupa lagi
wajah dahulu dan kini

seperkara yang ku pinta
dari rakan semua
usah diungkit kisah duka
yang pernah melanda
kerna hati ingin melupa

memangnya kita manusia
tiada yang sempurna
pada salah dan cela
kita belajar dengannya
juga kesal kerananya

dan untuk kesekian kali
ingin aku ulangi lagi
bahwa aku ingin pergi
pada pertemuan kembali
disitu istana memori
di jalan aminuddin baki











.

Khamis, 17 Mac 2011

pada jalannya waktu

pada jalannya waktu


.oleh Md Share Abd Ghani pada pada 18hb Mac 2011 pukul 12.34 pagi.



pada jalannya waktu
deras menuju destinasi
tersedar akan diriku
masa tua menanti
mana hala menuju
aku sendiri tak pasti

masa terus berlalu
tak sesaat terhenti
dosaku memburu
bimbang dalam hati
kesalahan yang lalu
bilakan kan terganti

Ya Allah aku mengaku
kehidupanku yang keji
kupohon kan rahmatMu
untuk kali yang ini
terimalah taubatku
tak kan diulang lagi
kesalahan yang dulu
kini aku berjanji !

himpunan mimpi

himpunan mimpi
oleh Md Share Abd Ghani pada pada 17hb Mac 2011 pukul 4.53 ptg



terkadang diri merasai
bahagia tiada terperi
biarpun untuk sekali
andai cuma sehari
lena yang diwarnai mimpi
bayangannya indah sekali

ada masanya pula
seakan menjadi mangsa
jelmaan pelbagai rupa
diri tiada daya
yang mampu menghalangnya
kitalah mangsanya
pada lena yang fana

pada lain ketika
kita didatangi tanda
akan suatu peristiwa
tanpa memikirkannya
kita ketepikan dengan leka
selepas mengharunginya
baru diri terasa
seperti pernah diuja
pada perkara yang serupa

lemahnya deria kita
serta tiada pula peka
kejadian diantara lena
itulah tandanya kuasa
Sang Pencipta Maha Berkuasa
kita hanya manusia
begitu lemah fitrahnya
berbanding akan Dia

himpunan mimpi mimpi
yang pernah terjadi
didalam kehidupan ini
sentiasa jadi misteri
apakah benar terjadi
atau cuma bak pelangi
indah berwarna warni
sekadar dikagumi
selepas hujan pergi
dan mentari kembali
menerangi isi bumi

kuntum impian

kuntum impian
oleh Md Share Abd Ghani pada 15hb Mac 2011 pukul 11.07 ptg
buat isteri sempena ulangtahun ke17 perkahwinan kami



yang telah aku sunting
bukan sekadar bunga di taman
bahkan kuntum impian
buruan segala kumbang
haruman yang terbilang
walau jari dikait duri
lantaran bunga terjaga rapi
namun hati tiada peduli
kuntuman kan jadi penyeri
kehidupan saban hari
dengan senyuman yang berseri
dengan indahnya budi pekerti

kuntum impian
bertuahnya mendapatkan
beruntungnya badan
siang menjadi rakan
dan malamnya menjadi teman
tika hari menjadi muram
setianya mendengarkan keluhan
pada saatnya mendapat ujian
sabarnya sentiasa mengubatkan
maka benarlah setiap telahan
memilihmu kuntum dari seribu kembang!

kuntum impian
aku malu untuk mengaku
hanya kamu yang dirindu
dan cuma kamu dicemburu
tiap hari saban waktu
resah hati tanpa kamu
belasan tahun telah berlalu
hatiku tetap kan begitu
menyintaimu tanpa jemu!

Jumaat, 11 Mac 2011

bila makmum terpesona

bila makmum terpesona


.oleh Md Share Abd Ghani pada pada 11hb Mac 2011 pukul 3.46 ptg.

solatku yang sempurna
bukan kerana hujan cuacanya
atau basah jalannya
solatku jadi sempurna
kerana kyusuk aku akan khutbahnya
tenteram jiwa mendengarnya
berjiwa khatib yang menyampaikannya!

tajuknya biasa biasa sahaja
tentang merdeka diri dan jiwa
tentang abdi dan hamba
tentang yang kini dan yang lama
akan tetapi mendalam kupasannya
merdeka yang dituntut oleh agama!

solatku yang sempurna
walaupun dudukku di kaki lima
dewan solatnya telah penuh semua
dingin cuaca menyambar muka
hatiku telah terpesona
jiwaku terpaut sama
dingin hati dan sejuk di jiwa
tatkala diperdengarkan kata kata
memuji akan kebesaran Yang Esa!

solatku yang sempurna
cuma surau bukan masjid ternama
tiris atap dan menitis airnya
bukan selesa yang diambil kira
bahkan pasrah yang mengharapkan redha
itulah sebenarnya makna merdeka
yang aku kutip dari khutbahnya sang khatib!

solatku yang sempurna
aku yakin dan aku percaya
adalah pabila imam dimulia
dan makmumnya terpesona
kehadratNya menjadi redha
mengharap dariNya yang serupa!

Selasa, 8 Mac 2011

gugusan air mata

.oleh Md Share Abd Ghani pada pada 08hb Mac 2011 pukul 8.40 ptg.

gugusan air mata
tergenang di kelopaknya
namun gugur tiada jua
pedih hati nan lara
kasih kini didusta

dahulu janji bersumpah janji
kini hati berpaling pergi
dahulu kata sehidup dan semati
kini cinta dah dicari ganti
meranalah diri menyesal sendiri

disebalik segala janji dan sumpah
cinta bukannya untuk yang kalah
begitu juga dengan airmata yang tumpah
bangkitlah dan kembali dengan gagah
bukan airmata yang membuat kita lemah

simpankan dahulu airmata
dalam kelopak yang berkaca
biarlah berharga gugurnya
pada rasa yang gembira
pada anganan yang berjaya

gugusan air mata
kiranya gugur jua
bersama sejuta rasa
antara aku dan Dia
pasrah menanti redha!

Jumaat, 4 Mac 2011

tertangguhnya bahagia

.oleh Md Share Abd Ghani pada pada 05hb Mac 2011 pukul 11.33 pagi.




aku ingin...
meraih sebahagia yang mungkin
bersamamu disamping
menjadi malam untukmu beradu
laksana bulan punggukmu merindu

aku mimpikan...
ketenangan yang sepanjang zaman
disisimu selalunya
setenang senja diwarnai lembayung
seperti setianya aur pada tebing

sayang...
bahagia bukannya lukisan
yang diwarna dengan tangan
mengikut watak yang diangan
dipamer penuh kebanggaan

bahtera bahagia itu...
lautannya masa dan waktu
ombaknya serakah nafsu
ributnya fitnah dan hasut
dan haluannya beribu batu

pada destinasi yang jauh
bahagia jadi tertangguh
kasih tiada berjodoh
dan mimpi kemana jatuh
sinar juga kembali teduh

bahagia yang aku dambakan...
tertangguh dipertengahan jalan
begitulah nasibnya badan
mengharapkan kasihnya orang
takdir telah menentukan!

Rabu, 2 Mac 2011

sekawan tak sereban

kitalah makhluk itu
yang dibanding dan disuku
mengikut kasta dan bulu
sedang asalnya dulu
sama kita seperdu
dari rumpun nan satu

kitalah selepas itu
berbahasa berlainan lagu
mengecap budaya baharu
dan gaya berbeza mutu
pada zaman yang serba maju
hingga saatnya bertemu
tiada lagi seperti dulu

sekawan kita tidak lagi sereban
setiap kita punyai haluan
matlamat serta tanggungan
agak rumit untuk ditafsirkan
masing masing punyai peranan

sekawan tak sereban
dimanakah titik pertemuan
sentiasa dibatasi rintangan
pada setiap kemungkinan
kan sentiasa mengharapkan

sekawan dan sereban
secebis kisah dalam kenangan
takkan kita lupakan
kekal sepanjang zaman
selagi hayat dikandung badan!

Selasa, 1 Mac 2011

mari rasakan seninya maktab

Mari Rasakan Seninya Maktab


.oleh Md Share Abd Ghani pada pada 02hb Mac 2011 pukul 9.41 pagi.


mari rasakan....
apa yang telah pernah kami rasa
mari rasakan bagaimana
untuk menjadi sebuah keluarga
pada usia yang sebaya....

mari rasakan....
apa yang telah dahulu kami cuba
mari alami bagaimana
untuk menjadi seorang dewasa
jauh dari sisi keluarga tercinta

menjadi keluarga ...
bukannya sekadar berumahtangga
untuk menjadi keluarga
ada harga sebagai denda
ada jasa sebagai laba
dan ada memori sebagai nostalgia

menjadi keluarga...
bukannya sekadar tinggal bersama
bagi sebuah keluarga
tawanya seiya dan tangisnya sekata
secangkir airnya dan setalam nasinya
seguru ilmunya dan segunung angannya

dan menjadi sebuah keluarga...
bukan semudah yang disangka,
ibaratnya jejari ditelapak tangan
tiadakan sama tinggi rendahnya
begitulah reka Yang Empunya Rencana
begitulah yang leka tersingkir akhirnya...
pun kehidupan diteruskan jua!

pada seninya keluarga olahan maktab
bukan sekadar tambah tolak bahagi dan darab
atau membaca dari buku dan kitab
disulam juga didikan akhlak dan adab
diselit bersama dengan disiplin dan tertib
keluarga ini akan mengembara serata dunia
terbang di ruang angkasa
dan belayar mengelilingi benua
di puncak tugu mengukir nama
di dalam lautan menggali pusaka
satu demi satu sejarah bakal tercipta
satu demi satu produk jenama MARA!

mari rasakan seninya maktab kita
seni mencipta nama dan bangsa
seni mencipta kekuatan dan kuasa
seni yang mempertahankan agama
seni bernama tak melayu hilang didunia!











...

tampi tampian

tampi tampian


.oleh Md Share Abd Ghani pada pada 02hb Mac 2011 pukul 9.32 pagi.


secupak padi yang secupak
segantang beras ditampi tampikan
tak nampak hatinya ku tak nampak
kalau keras kan ku doa doakan

secupak padi yang secupak
segantang beras ditampi tampikan
tak gamak hatiku tak tergamak
kasihan belas pula aku melihatkan

secupak padi yang secupak
segantang beras ditampi tampikan
tak minta hatiku tak meminta
dengan ikhlas pula aku melakukan

secupak padi yang secupak
segantang beras ditampi tampikan
teresak tangisannya yang teresak
penyesalan itu sebaik baik pengakuan

secupak padi yang secupak
segantang beras ditampi tampikan
teragak jangan lagi teragak agak
yakin keatas rahmatnya tuhan

secupak padi yang secupak
segantang beras ditampi tampikan
buka selak buku baru kita buka
pengalaman lepas jadikan pengajarann

secupak padi yang secupak
segantang beras ditampi tampikan
segak budi hanya dek akhlak
rupa yang tampan bukannya ukuran

ini kisah secupak segantang
kisah akhlak juga penyesalan
kisah secupak dan segantang
harap dijadikan perbandingan!













.