Rabu, 18 November 2015

GERIMIS DAN SEBARIS DOA

GERIMIS DAN SEBARIS DOA
Oleh : md share abd ghani

Seusai mengisi rohani
Kutegur alam di laman hadapan
Awanlara tampak mencuka
Cuma lelehnya belum merembes muka
Agaknya tuhan memusimkan kita
Dengan menyedia medan berdoa

Basahan semalam masih segar
Hijau pohonan berdiri tegar
Belimbing buluh di penjuru pagar
Lebat bertandan berbunga mekar
Rerumput ikut hijau menghampar
Menghulur pucuk panjang berjalar

Besar anugerah Yang Maha Esa
Mengagih kurnia saksama rata
Semua makhlok berkongsi sama
Bertanduk berpucuk semua merasa
Sungguhlah gerimis memberi makna
Mengingatkan kita yang sering alpa

Kembali aku ke dalam teratak
Dengan raga yang ranum bahagia
Bicara gerimis seakan kan tiba
Dibawa semilir yang baru dirasa
Kukatupkan pintu kurapatkan jendela
Kutekunkan membaca sebaris doa

Lobai: Tmn.Impian Putra
Bangi
181115

KITA TELAH SEPAKAT

KITA TELAH SEPAKAT
Oleh: md share abd ghani

Katamu
Sebelah manapun tebing yang kita berada
Bersyukurlah
Kerna kita masih di sungai yang sama
Kita telah sepakat
Tidak akan bertukar kiblat
Kita kongsikan mandian dan ikannya
Dan kita hanyutkan timba telagah
Biar menjadi tukun di muara sejarah

Katamu
Suatu hari nanti kita bangunkan jambatan ukhwah
Moga moga
Mampu kita berkongsi pucuk peku dan rebungnya
Kita telah sepakat
Untuk tidak menuba dan memukat
Demi menjaga
Kelestarian buana

Katamu
Sebelah manapun tebingnya kita
Asalnya
Tetaplah dari hulu yang sama
Kita telah sepakat
Untuk saling berkongsi hakikat

Lobai: IPPD Sepang
Salak Tinggi
171115

Sabtu, 14 November 2015

SESUDAH GERIMIS

SESUDAH GERIMIS
Oleh: md share abd ghani


Miliki semula hatiku
Atau bertatihlah untuk melupakan
Tiada kesal dan tak perlu, juga sebuah kemaafan
Dunia memangnya begitu
Lupakanlah kenangan yang lalu

Larik larik pelangi
Tumbuh sesudah gerimis
Jadilah berani
Dan berhentilah menangis
Milikilah hati ini
Usah biarkan aku mengemis

Dahulu dunia
Meniti di jari kita
Kenangan bersama
Betapa aku bahagia
Sekali badai tiba
Menduga setia dan asa

Dalam senja yang durja
Kusempatkan diri berdoa
Lupakanlah aku kiranya
Diriku tak lagi berharga

Lobai5981: Kmpg Bahagia
Bangi
151115

Jumaat, 13 November 2015

DEBAR

DEBAR
Oleh : md share abd ghani

Kita tak lagi
Mengongsi debar yang sama
Dan lagu lagu cinta
Tidak lagi dinyanyikan
Oleh bayu yang menyeka muka
Jarak semakin menjauh
Pandangan ikut mengeruh
Tinggal pintu hati
Yang kukatup dengan bertangguh

Dahulu kunyalakan bara
Dalam sekam cinta
Yang kukira nyalanya
Mampu menghangatkan raga
Mendakap keterasingan
Yang memisahkan kita

Kini
Tinggal pelepahan palma
Yang menemankan aku bercerita
Menguis memori yang merasuk sunyi
Debar yang bersadurkan rasa
Telah didamaikan oleh masa

Biar ku jerangkan sebuah nyanyian
Tentang debar yang pernah bertungku didalam dada

Lobai5981: Bukit Tampoi
Dengkil
131115

Selasa, 10 November 2015

SEBATANG ROKOK SEBUAH JAYA

SEBATANG ROKOK SEBUAH JAYA
Oleh: md share abd ghani

Kepul kepul asap mengabusi mimpi
Tidur si lelaki dengan api masih di jari
Mimpinya tentang jaya yang dipinangnya dengan janji
Dan api di jari yang akhirnya terpadam sendiri

Dia lelaki berani, tidak mudah ditakuti
Betapa mahal sigarnya, mahal lagi harga diri
Baginya cabaran adalah untuk ditakluki bukan ditakuti
Memadai sebuah jaya biarpun dalam bahaya
Selepas yang pertama sigar yang kedua pula dinyala

Dia lelaki yang kaya biarpun tak memiliki apa
Dengan sebatang rokok keyakinannyapun menokok
Hidup umpama jentera berapi serta berasap
Tanpa api dan asap kejayaannyapun lenyap

Lobai: Kmpg Ginching
Salak Tinggi
111115

Sabtu, 7 November 2015

AJAL

AJAL
Oleh: md share abd ghani

Bertanya akrabku kepadaku;
Kita telah bersahabat
Sejak matamu belum melihat
Mahukah kau istirahat
Kubawamu kesuatu tempat?

Lalu menjawablah aku
Antara mahu dan tidak mahu
Jika mahumu begitu, apakah dayanya aku!
Kubiarkan masa berlalu
Menanti dengan kelu

Akbrabku lantas menyambung
Tulus dan tidak bohong;
Aku telah berkenan
Malangnya belum diizinkan
Ternyata Penciptamu sayang
Memberi akanmu peluang

Syukur padaMu tuhan
Kerna masih memberi keizinan
Akrab yang aku tatang
Kekal ia berpantang
Bila masanya datang
Kunantinya dengan tenang

Lobai: Tmn. Impian Putra
Bangi
081115




Khamis, 5 November 2015

PANGLIMA BERSELIMUT KAIN

PANGLIMA BERSELIMUT KAIN
Oleh: md share abd ghani

Hukum telahpun disepak
Dan maruah juga diinjak
Cuma sang panglimanya,
Masih belum berpencak
Mungkin mungkin
Agaknya masih berselimut kain
Menghayal mimpi malam kemarin

Mana gagah nama terbilang
Mengangkat keris menjulang pedang
Bertulang besi bercakar helang
Watak bengis menawan gelanggang
Entah entahkan
Cuma gah menjual temberang
Panglima tewas dicelah kangkang

Lobai: Tmn. Impian Putra
Bangi
061115

Selasa, 3 November 2015

HIJAU MAHSURI DI GIGI PETANG

HIJAU MAHSURI DI GIGI PETANG
OLEH: md share abd ghani

Pada petangnya
Dia masih di bendang
Mencanai nasibnya sendiri
Mengagah belalang, merumput mensiang
Mahsuri masih kehijau hijauan
Di hujung relung,
Ciak dan pipit berpesta gemilang

Ketika petang semakin rembang,
Bekejar pula ke laman belakang
Itik ayam perlu direban
Sebelum kenduri sawa dan musang
Dan tanaman sekangkang perlu disiram
Rutinnya tamat dihujung kalimat
Tika muazzin melaungkan azan
Dan sebatang kretek menemaninya naik
Melabuhkan kaki menikmati kopi.

Tatkala petangnya mula berakhir
Berwudhu'lah dia solat dan witir
Dihujung salam mengupas zikir
Dia kekalkan kiam
Sebelum sang embun mencairi malam

Lobai: Tmn. Impian Putra
Bangi
031115

Ahad, 1 November 2015

SENDIRI
Oleh: md share abd ghani

Bersendirian dibawah kawah matahari
Sempat juga kutanak segumpal janji
Untuk hidanganku berlaukkan hargadiri
Betapa bersunyi ini juga bererti
Untuk kuluangkan masa memarkahi diri

Bersendirian di pinggir kegawatan duniawi
Kuluangkan waras mendengar sang unggas bernyanyi
Gemalai pawana ditarikan liuk lambai pelepahan palma
Mungkin diantara kemerduan suara,
Dan lambaian pelepahan palma;
Ada hikayat yang sedang dibukukan sang buana

Bersendirian menghening sunyi dipinggiran kali
Ada puisi sedang dinyanyi sang arus yang pergi
Entah tajuknya masa entahkan usia
Nyatanya kesendirian ini mengajarkan aku berdikari
Begitu terlahir, begitu juga kelaknya pergi menghadap Ilahi

Bersendiri menekuni bicara yang bergema didalam hati
Kutempelkan aksaranya melintuk liuk ke papan peranti
Ku ulang baca, mencari cela dengan berhati-hati
Dan kujudulkan ia menjadi sabda di laman perhati.

Lobai: Tmn. Impian Putra
Bangi
021115
USAH BERLAMA
Oleh: md share abd ghani

Jangan terlalu jauh
Untuk kau melangkah pergi
Bimbang jalan kembali
Telah sirna dari memori
Usahlah terlalu lama
Dikau tinggalkan diri ini
Mungkin pula nanti
Engkau tak lagi ku ingati

Tak perlu kau menduga
Berpisah antara kita
Kerna setiapun punya harga
Tika bersulam caci dan nista
Jarak dan juga masa
Tiada mampu menebus cinta
Sampai tika dan waktunya
Kan terhukum leka dan alpa

Kudambakan kita
Bersama setiap masa
Sebagaimana setia
Cahaya dengan bayangnya
Tiadakan sempurna
Terang yang tanpa gelita
Sebegitulah jua
Gelap yang tak bercahaya

Janganlah terlalu jaih
Engkau jarakkan cinta
Bimbang kan binasa
Tugu setia yang aku bina
Usahlah berlama
Engkau pergi berkelana
Pulanglah kiranya
Aku masih bagimu bermakna

Lobai: Tmn. Impian Putra
Bangi
121015
PUISI AKROSTIK
Oleh: md share abd ghani

PALESTINE
~~~~~~~~~

Palestine
Akulah yang paling berdosa
Leka dalam mengadun dunia
Enak pula dimanjai keluarga
Sedangkan engkau nazak tersiksa
Tanpa belas, simpati dan doa
Inikah yang ku akui saudara seagama?
Naif dalam mengaplikasikan kudratnya
Enggan pula menuntut hak dan suara

Lobai: Tmn. Impian Putra
Bangi
131015
INTIFADA
Oleh: md share abd ghani

Kerikil-kerikil tajam
Dalam genggaman kekanak Firdausi
Telah berakad dengan Penciptanya
Yang anak anak syurga itu
Kan jadi Ababil yang seterusnya
Tiada dia gentar,
Nempertaruh raga
Kerana Kekasihnya
Telah mengosongkan ruang untuknya
Dalam kamar Jannatul Firdausi

Anak-anak Intifada
Kami rayu kebangkitan kalian
Dengan doa-doa
Kutipkanlah tulang temulang saudaramu
Asahkan ia setajam lembing
Dan tusukkan kedalam dada musuhmu
Dan menangkanlah juang ini
Bagi pihak kami

Tuhan
Ambilkanlah lisan kami
Menjadi duri seligi
Membenami hati musuh-musuh kami
Biarkan kegerunan
Menjadi wajah,
Dan kekalkan Intifada menjadi wadah
Didalam hati
Yang tidak mengenal kalah

Lobai: Kmpg. Sg. Kembung Hilir
Bangi
141015
PUISI TANWIN
Oleh: md share abd ghani


(i)
Onar angkasa angkara insan
Lenyap lestari naluri prihatin
Bernyawa raga didalam jerumun


(ii)
Indah dunia ciptaan tuhan
Kini sirna gelap dan bumin
Haloba nafsu subur merimbun


(iii)
Sungguh manusia miskin kasihan
Mengalpakan hak makhlok yang lain
Mujur tuhannya Maha Pengampun

Lobai: Tmn. Impian Putra
Bangi
101015

PUISI SEBATANG JARI

Puisi Sebatang Jari
Okeh: md share abd ghani

Tenang-tenang disini
Membaca baki puisi
Betapa berkongsi pagi
Bersama sebuah peranti

Tenang-tenang disini
Pulang mencuci kaki
Kudapan sedia menanti
Setia seorang suri

Tenang sebuah pagi
Teleku diatas kerusi
Berpenakan sebatang jari
Kukarangi sebentuk puisi

Lobai: Tmn. Impian Putra
Bangi
201015
DARI PANGGUNG ALAM
Oleh: md share abd ghani

Dibawah kanopi alam
Hujan turunnya lebat
Dedaunan ilalang dipaksa menari
Dinginan bayu menyaluti diri
Pelepahan palma menuntun simpati
Tertunduk hujungnya mempertahankan kami
Kaku tubuh menumpang teduh
Di perdu tumbuh duduk bertangguh
Sekali lagi pepohonan girang
Seluruh tubuh segar bersiram
Hanyut luruh debu nan kusam
Kudup nan lecuh kembali berkembang

Begitu alam dipermainkan
Rakus selera nafsu mengidam
Tinggal Yang Kuasa masih mengizinkan
Menanti alpa mendapatkan balasan

Lobai: ladang Yuwang
KLIA
261015
LIMA KAKI
Oleh: md share abd ghani

Lima kaki
Dari aras bumi
Penuh daki
Tak tercuci
Pelbagai aksi
Mengejar duniawi
Terlupa kaki
Masih berdiri
Di ladang perhati

Lima kaki
Bawah aras bumi
Begitu sunyi
Ditinggal sendiri
Tangisan dang suri
Putera dan puteri
Akhirnya pergi
Harta berguni
Dibahagi-bahagi

Lima kaki
Sana dan sini
Menjadi saksi
Ternyata janji
ZAT Yang Abadi
Benar sekali.

Lobai: Tmn. Impian Putra
Bangi
281015
PEPOHON MUSIM (hasrat dan doa)
Oleh: md share abd ghani

Kupetik musim
Dengan tangan kesyukuran
Kan kukalongkan harapan
Pada dahan simpati
Moga masih berbelas tengkujuh
Pada saudaraku yang jauh
Dan reranting ucap
Masih berdaunkan doa
Berpucuk hiba pada tampuk luka duga
Pun kudup simpati
Masih mekar berkiblat
Biar tumbuhnya pohonan hasrat
Sekadar di laman ingat

Tengkujuh
Sesungguhnya kita bersaudara
Kerna asal jadinya aku
Dari titis air
Bersira roh,
Berkasihsayang

Lobai: Tmn. Impian Putra
Bangi
011115

GERIMIS
Oleh: md share abd ghani

Dicelah gerimis yang berceceran
Tiada ruang untuk menyanyikan lagu hati
Selain cuba memahami bahasa alam
Serta menelusuri luka derita ceritanya
Tentang debu kemarin yang menyumbati liang rahmat
Kitalah pengalpa nakal yang seringnya terleka
Mengulangi khilaf yang selalunya serupa
Aku masih menginginkan gerimis ini menyambung cerita
Tentang doa pepohon dan rintih sang mergastua
Betapa terbang jalannya mereka tanpa mata
Buat menyenak tembolok keluarga cuma
Aku masih sudi kiranya gerimis ini berlama
Menemani pacuanku untuk hadir bersiaga
Dalam lohong jalan yang dihiasi cuaca suram
Aku ingin gerimis ini menemani sunyiku yang kiam

Dicelah-celah gerimis yang berceceran
Kuciptakan sinopsis segusar alam
Tiada lagu hati untuk kunyanyikan
Tiada destinasi dalam menyoroti sebuah pengertian
Cuma sesekali gerimis memberikanku kucupan
Lewat persinggahan aku menenggalai malam

Lobai: Pej. Operasi MPV
KLIA
011115

DAMAI SEBUAH PAGI

Damai Sebuah Pagi
Oleh: md share abd ghani

Pagi ini seharunya jadi pagi yang seranggi hati
Tidak mengapa sekiranya sedikit sunyi berdiri
Asalkan suria masih sudi dan kedinginan masih disisi
Akan kukongsi pagi ini dengan sepotobg puisi,
Agar bisa jadi mentera untuk tabah mengharungi hari.

Diluar jendela, sang suria gigih melukiskan bebayangan
Sesekali jalak jiran berkokok jalang dan merenyam
Sepoi sang bayu menarikan jemuran di ampaian
Didalam hati terasa tulus sebuah kedamaian
Pagi ini selepas petaka pergi, kunikmati sebuah kesegaran,

Didalam kamar, cuma ada aku dan sebuah kesunyian
Bening suasana menggoda aku bermalas-malasan
Pagi sebegini mengingatkanku pada kampong halaman
Betapa syahdu kenangan yang tidak mampu aku lupakan
Sepasang insan tempat kumenumpang kasih dan sayang.

Lobai: Tmn Impian Pitra
Bangi
271015

LUKA LAGI

Luka Lagi
Oleh: md share abd ghani

Senyap!
Usah berbunyi,
Dan berusahalah menjauhkan diri
Dari dijamah ketololan sendiri

Sembunyi!
Jangan nampakkan kelibat diri,
Saku kita sedang diperhati
Untuk ditarah setiap hari

Berhenti!
Tak perlu kemana-mana kini,
Berjimatlah dengan rezeki
Yang sejemput untuk dikongsi

Beringat!
Seandainya pilihan datang kembali,
Utamakan yang berperibadi
Usah dilukai kedua kali

Lobai: Kampong Semarang
Dengkil
281015

TINTAKU SIRNA SENDIRI

Tintaku Sirna Sendiri
Oleh: md share abd ghani

Tintaku sirna sendiri
Kabur ke alam infiniti
Tiada yang kekal abadi
Lenyap tidak berganti

Masa tidak menanti
Dan tintaku sirna sendiri
Di lamanan ini
Canda datang dan pergi

Usahlah tercari cari
Larik seni sebalik memori
Tintaku kan sirna sendiri
Asal sunyi kembali sunyi

Sehingga bertemu lagi
Sesantun ucap sesyahdu puisi
Mekar di papar peranti
Tintaku sirna sendiri!


Lobai: muka sauk,
Kmpg Labu Lanjut
261015