Khamis, 23 Januari 2014

AKU DAN CARAKU

Aku dan caraku
Oleh; nd share abd ghani

Aku sudah tidak perduli
Lagu siapa telah diparodi
Tokoh mana menjadi juri
Dalam rancangan lawak terkini
Kerana didalam mindaku ini
Telah sesak dengan tragedi
Kejadian jenayah disana sini

Aku tak mahu ambil pusing
Siapakah calon yang terpelanting
Dalam cabaran memasak menggoreng
Kerna yang utama untukku kini
Cukupkah beras menjadi nasi
Dalam sekitaran berkos tinggi
Yang aku depani setiap harI

Aku tidak mahu kisah
Tokoh mana yang bergetar lidah
Menjadi wira menegak hujah
Samada pemerintah atau pembantah
Kerana aku kekal di bawah
Sedangkan mereka golongan mewah
Untuk mereka segalanya indah

Aku ingin menjadi diriku
Mengais yang halal sekadar perlu
Membaris doa didalam teleku
Semoga Allah mempercukupkan aku
Dengan nikmat seadanya dahulu
Akan ku usahakan selagi mampu
Menternak jiwa dengan caraku

Lobai: tmn impian putra
bangi

Isnin, 20 Januari 2014

BIARKAN DULU

Biarkan Dulu
Oleh: md share b abd ghani


Biarkan aku di situ
Kekal menghunus senjata
Dengan daki dan darah dibaju
Kerna kemenangan yang kucuriga

Biarkan aku berkubu
Bersiaga seperti dahulu
Kerna sesungguhnya percaya
Kemenangan ini tidakkan lama

Biarkanlah aku di situ
Dengan baki peluru
Pantas saja siapa tahu
Kemenangan itu palsu

Oh biarkanlah aku
Seperti selalu
Tidak mahu terburu buru
Menyenangi hawa nafsu


Lobai: : restoran h n h
batang benar

Sabtu, 11 Januari 2014

BURUH

Buruh
Oleh: md share abd ghani

Engkau memagut hempedu siang
Membanting tulang temulang
Membenarkan keringat bergenang
Tak pernah merasai senang

Engkau perisaikan bahang
Dengan kulit belulang
Dan kau langkahi keringat
Tanpa kesumat
Tak pernah kau merasa penat

Engkau bina kota peradaban-
dengan bersungguh
Dan bongkah mercupun menjadi teguh
Buruh
Engkaulah jentera ;
Yang terpasang dengan naluri dan roh

Lobai: tmn impian putra
bangi

BIARKAN AKU

Biarkan Aku
Oleh : md share abd ghani

Biarkan aku disini
Kekal bersendiri
Berteman diksi hati
Membisik surah suci
Ke pintu imiginasi

Dikakilima
Kan kukutip perca
Dari untaian kekata
Mencari makna
Untuk senyenyaknya
Kuselimuti lena
Yang mimpinya syurga

Biarkan aku
Bersyahdu dalam teleku
Berbaldukan debu
Dalam sujudku
Diakhir waktu

Biarkan aku
Menentu hala tuju
Yang tertakdir untukku
Biarkanlah dahulu...

Lobai5981: tmn impian putra

Khamis, 9 Januari 2014

KOTA DAN KISAH

Kota Dan Kisah
Oleh: md share abd ghani

Sekeping roti canai
Dan secangkir kopi rendah gula
Kenangan yang membuai
Memikir kisah yang lama

Seorang pelayan muda
Bertanya dengan mesra
Agaknya dari seberang sana
Firasatku berdasarkan bahasa

Bergemering lambakan sudu
Membenam ketelingaku
Jentera terburu buru
Menghambat nafsu dan waktu

Pandan indah kota nostalgia
Penuh kenangan lama

Lobai: restoran lz
pandan indah

Dalam tajuk: kota dan kisah
Dedikasi untuk seorang sahabat

SEPINGGAN NASI TUMPANGAN

Sepinggan Nasi Tumpangan
Oleh : md share abd ghani

Sepinggan nasi tumpangan
Yang kau lahap kekenyangan
Berkarikan daging, ayam dan ikan
Dan sayurnya kangkong goreng belacan

Di situ jerih keringat nelayan
Kulit pak tani menjadi legam
Bergelumang najis lumpur berkuman
Dan yang tak pernah engkau fikirkan
Segala yang mereka korban;
Semuanya demi nasi sepinggan

Sepinggan nasi yang kita suapkan
Dengan rasa penuh kesyukuran
Cuma keringat petani dan nelayan
Yang menjerih dilaman kehidupan

Lobai : tmn impian putra
bangi

SEGUMPAL HARAPAN

Segumpal Harapan
Oleh: md share abd ghani

Akukah yang berjalan
Di gersang siang bersendirian
Mencari jejak yang kautinggalkan
Bersama sebenih harapan
Tika masa memburu usia
Aku buntu mencari hala
Dan pada penghujung senja
Aku keletihan; berputus asa

Akukah yang bertempiaran
Di kebasahan malam mengharapkan
Akan ditunjuki mimpi kebenaran
Tatkala lena digelandangan
Kerana sebaik esok menjelma
Aku harus terus berusaha
Mencari tanda tanda
Membongkar rahsia cinta

Akulah yang kejerihan
Mencabar siang meremehkan malam
Dengan segumpal harapan
Yang nyatanya semakin kelam

Lobai5981: Tmn impian putra

Isnin, 6 Januari 2014

SKETSA PASAR PAGI

Sketsa Pasar Pagi
Oleh: md share abd ghani

Aku ke pasar pagi-
menemani dang suri
Mencari sepotong tenggiri
Dan sekeping pari-itu sahaja yang mampu kubeli
Almaklom taraf hidup makin mendaki
Berdikitlah kami bak saranan pak menteri

Di kaki meja jajaan
Terbungkang kucing kekenyangan
Tanpa perlu mengendahkan
Tanda harga yang dipamerkan
Dengkurnya sinis- antara pitis dan habis
Kucing jalanan-hidupmu sekadar ikhsan
Sang peniaga dan penguatkuasa!

Tika perjalanan pulang
Pikirku terus mengulang
Tentang kucing yang kenyang
Bagaimana ia menyumbang
Untuk begitu disayang
Segala kemungkinan kutimbang

Akhirnya tersenyum sendiri
Kerna jawapan yang kucari
Kudengar setiap hari- dibuletin televisi pasti
Bahasa sadur berbunyi subsidi

Kucing yang berdengkur sinis
Rahsiamu begitu persis- dalam
tadbiran sang kuasawan
....
Lobai: pasar pagi
salak tinggi