Ahad, 29 April 2012

kuning itu karut
oleh md share pada 29 april 2012

sang pemikir bersuara serak
telah menjadi rabun serta pekak
dunia karyanya menjadi retak
ilham pencipta bertukar corak
dahulu namanya meniti puncak
beliau memilih medan berontak
demi kelangsungan segelintir pihak
...
seandainya tiada setitispun kebaikan
dari penguasa mengendalikan kerajaan
pasti diturunkan bala dan amaran...
usahlah mengantikan kerjanya tuhan
berbondong bondong berkuning kuningan
itukan lebih menyulitkan keadaan
...
Lobai:tmn impian putra, bangi

alangkah

oleh Md Share Abd Ghani pada pada 25hb Mac 2012 pukul 9.57 ptg ·

alangkah jujurnya masa hadapan
tidak terbongkar tiap kerahsiaan
tak punya kepastian semua ramalan
tak kira hamba maupun sultan
...
alangkah setianya semalam
mendakap memori dalam kiam
tiada bersuara kekallah diam
sejarah ditempa serta dirakam
...
alangkah bertuahnya sekarang
masih dihadiahkan ruang dan peluang
dari menyesal baiklah merancang
dan dari gagal eloklah menang!
...
alangkah bodohnya insan
dipakaikan akal dan perasaan
masih gagal dalam membedakan
antara maksud dengan tujuan
...
alangkah oh alangkah
alangkah malangnya nasib badan!
...
Lobai:tmn impian putra, bangi

kembali

oleh Md Share Abd Ghani pada pada 31hb Mac 2012 pukul 9.22 ptg ·

aku kembali kesini
setiapnya aku pergi
istana airmata ; nama yang aku reka
kerana setiapnya ada gembira,
pulangnya pastilah lara
pelbagai warna diteka
kesat kata tertempa
wajah ikut mencuka
jelingan yang miskin manja!
...
aku kembali kesini
setiapnya aku pergi
biar disambut nista; bukan senyuman mesra
atau secangkir kopi diatas meja,
semuanya jadi biasa
bersyukur sekiranya ada
pasrah yang disebaliknya
asalkan masih setia
sihat didepan mata
memadailah bagiku, begitu ku kira!
...
aku akan kembali
setiapnya melangkahkan kaki
kerana istanaku disini
dan akadnya memang begini
bahagia derita dikongsi
senang dan susahnya nanti
kan kutanggung sendiri!
...
aku akan kembali
setiapnya meninggalkan pergi
kerana aku ini lelaki
kerana aku telah berjanji
bahwa aku akan kembali!
...
Lobai:tmn impian putra, bangi

tanpa

oleh Md Share Abd Ghani pada pada 4hb April 2012 pukul 9.42 ptg ·

perempuan tanpa lelaki
bagai kilang tanpa produktivi
begitu hukum dan perli
terimalah sewarasnya hati
...
lelaki tanpa sang suri
bagai lelayang tak bertali
kemana ditambatkan hati
diusung pawana pergi
...
perempuan dan lelaki
ibarat kuntum dan duri
lindung melindungi
kembang wangi berseri
...
perempuan dan lelaki
ibarat periuk dan kuali
lengkap melengkapi
keadilan berfungsi
...
perempuan dan lelaki
saling memberikan hati
cinta menyintai
kebahagiaan bersemi
...
perempuan tanpa lelaki
dan lelaki tanpa sang suri
jauh dari sunnahnya nabi
janggal dimata dan hati!
...
Lobai:tmn impian putra, bangi

mencari jawapan yang salah

oleh Md Share Abd Ghani pada pada 9hb April 2012 pukul 10.39 ptg ·

kekadang aku amat teringin
mencari jawapan yang salah
pada setiap masalah...bukan apa,
sekadar menyukat mendepa
betapa makna berbeza
memberikan harga kepada kita!
...
ini bukan politik desa
ini memangnya agenda negara
satu soalan yang serupa
punyai jawapan berbeda
oleh tokoh dua bendera
aneh keduanya mendakwa
dipihak merekalah kebenarannya
...
ini bukan sebarang niaga
ini perdagangan dua hala
punya harga berjuta dollar
dipacu oleh kaum keluarga
dari kalangan pemilik kuasa
aduhailah pengendali neraca
baik yang dunia dan alam yang sana
punya mulut dimana suara?
...
jawapan yang salah
ada ketika punya benarnya
seandainya yang bertanya
tidak punya telinga; cuma
punya isteri dan anak lima
yang menanti dirumah sewa
dengan gajian yang tidak seberapa
...
jawapan yang salah
terserah kita meneka yang bagaimana
kerana yang bathil memangnya dari kita
milikNya jugalah segala kebenarannya
dan aku pula sekadar ingin bertanya...
...
Lobai:tmn impian putra, bangi

berikan aku kemaafan

oleh Md Share Abd Ghani pada pada 13hb April 2012 pukul 10.03 pagi ·

berikan aku kemaafan
kiranya tersalah memilih jalan
keliru antara kiri dan kanan
antara maksud dan juga tujuan!
...
berikan juga aku kemaafan
kiranya lidah gagal menjujurkan
untukmu kalimah puji pujian
mungkin itu yang kau harapkan
...
berikanlah aku kemaafan
hanya itu yang ku perlukan
menguraikan semua kekalutan
yang pernah terlakukan
...
berikanlah aku kemaafan
dari senarai kekhilafan
aku cuma seorang insan
tiada lari dari melakukan
...
berikanlah aku kemaafan
seperti suruhan Junjungan
aku memohon keampunan
dari setiap kejahilan
...
berikanlah aku kemaafan
ketepikan dendam yang tersimpan
lupakan segala kepedihan
kita ini cumalah insan !
...
Lobai5981:tmn impian putra

ayah

oleh Md Share Abd Ghani pada pada 18hb April 2012 pukul 9.35 ptg ·

dari satu pojok
kulihat duduk ayah membongkok
renungan ayah menembusi sekotak rokok
bergetar kaki ayah seakan cuba merenyuk
dan sesekali kulihat ayah terbatuk batuk
muka ayah keruh dan buruk!
...
dibawah pohon limau dihujung halaman
ibu diteman oleh satu satunya perawan
kebanggaan yang membuat hati ayah rawan
anak gadis ulung lulusan menara gading
tersohor nama disekitar ceruk kampong
pulang bercuti dari jawatan jurutera perunding
...
empat puluh empat tahun
terlalu lama untuk dia menarikan santun
dan ayah ibu telah bertanyakan siapakah calon
penantian yang telah lama mereka tanggung
semenjak putrinya meninggalkan alam menara gading
bergelar si jurutera dari syarikat gergasi negara asing
...
hati ayah kelihatan agak gusar
mungkin telinga ayah telah terdengar
akan mulut lancang yang mula menggelar
ibu sekadar bersuara keluh kesah
hati ibu mana yang tiada gundah
namun disudut hati sang ibu tetap pasrah
...
tatkala sang mentari betul ditengah
ayah mencapai tongkat dan kopiah
masjid sepelaung jadi tempatnya singgah
bermohon lagi akan kemurahan Allah
tangan ayah mengiggil dan menadah
agar puterinya dikurniakan jua jodoh
...
kini ayah tidak lagi mahu bermegah
cukuplah baginya dugaan yang ditempuh
rela baginya digantikan nyawa yang geruh
asal jodoh puterinya usah lagi ditangguh
ayah seru jodoh dalam doa yang teguh
wajah ayah keruh hatinya pula rusuh
...
dan petang itu bagai petir guruh dan halilintar
ayah kaku dikamar tatkala rombongan datang melamar
pandangan ibu samar mata sang perawan berpinar
seisi rumah hinggar pada berita yang didengar
ayah terpanggil sebelum sempat mendengar
hasrat ayah tertunai dalam majlis yang cemar
...
Lobai:tmn impian putra, bangi 

pondok budi dan menara mimpi

oleh Md Share Abd Ghani pada pada 30hb April 2012 pukul 12.09 ptg ·

yang ku hajatkan ini
sekadar pondok budi
membantu sesuap nasi
bukan menara terpuji
untuk baka kasta tertinggi
seperti yang kau mimpi
...
marilah sertai kami
intai diserata negeri
bantu serta basmi
keciciran ekonomi
pendidikan apatah lagi
inikan lebih murni?
...
jangan semakkan kepala
memikir harta dan kuasa
dalam mengekalkan kasta
membina empayar dan menara
untuk keturunan kita
rezeki takkan kemana
...
bantulah juga mereka
kehilangan tonggak keluarga
mimpi mereka nestapa
sarapan mereka airmata
nasinya berlaukkan kelapa
esok menunya serupa
...
kasihanilah mereka
mata menjadi buta
pada hukum agama
pendidikan tak sempurna
kerana kealpaan kita
yang memiliki segala
...
ketika kita leka
melihat model menara
serta bentuk lencana
untuk anak anak kita
yatim mengunjungi pusara
itulah sekolah percuma!
...
disekolah yang percuma
gurunya akal kita
subjeknya alam maya
dan ilmunya pancaindera
tajuknya ringkas sahaja
kehidupan ini sementara
...
disekolah yang percuma
gugur bebunga kemboja
menimpa nisan pusara
dan dikamar sebuah menara
tidur seorang pengetua
mimpinya sebuah keranda
...
Lobai:tmn impian putra, bangi