Rabu, 25 Mei 2011

sisi gelap

sisi gelap


.oleh Md Share Abd Ghani pada pada 26hb Mei 2011 pukul 12.20 ptg.


pada sisi gelap kehidupan
adalah rajuk yang membawa diri
lantaran hak yang dinafi
menawan puncak menara gading
sebagai bekal untuk bersaing

pada sisi gelap didalam diri
adalah mandiri mencari rezeki
dalam khidmat mempertahan pertiwi
didaerah sunyi tiada penghuni
yang pertama dan akhir sekali
tiada mungkin kan ku ulangi

pada sisi gelap didalam memori
adalah langkah silap memakan diri
yang kesalnya tidak dapat dinafi
dan keluhnya menyanyi sehingga kini
hina dan rasa rendah akan diri
malu dan bersalah terhadap Ilahi
kecewa dan merana silih berganti

pada sisi gelap kehidupan yang lalu
kelak jadi sempadan tingkah dan laku
pilihlah antara yang hendak dan perlu
kerana bezanya akan yang kedua itu
satunya akal dan yang satunya nafsu

pada sisi gelapnya akan diriku
cuma kisah lalu yang tersasar tuju
seperti fitrahnya akan kejadianku
tersungkur layu diperdu nafsu
lantaran hidup yang kekurangan ilmu









.

Isnin, 16 Mei 2011

merawat lara

merawat lara

.oleh Md Share Abd Ghani pada pada 16hb Mei 2011 pukul 1.07 ptg.


deruan angin menampar muka
embun dan asap berpesta ria
tatkala motorsikal dipacu tergesa gesa
pada lorong cemas dilebuhraya
sang suri mengeratkan pelukannya
tanda tiada selesa pada usaha
menghampiri destinasi memburu masa

begitu enjin menderu dan menyerbu
rasanya yang dipacu pegun dan kaku
berbanding mereka yang lebih laju dan maju
meninggalkan kami laluan kelabu berdebu
kamilah siput yang diceritakan didalam buku
yang menyahut cabaran sang arnab yang gebu
cuma kesudahan ceritanya tidak begitu

begitu lazimnya rutin bulanan bermula
menghantar sang suri mendapat rawatannya
hospital ampang dari bandar seri putra
aku lakukan dengan rela bukan terpaksa
demi kasih seorang suami pada isterinya
penuh harapan akan menemui penawarnya
dengan izin dan kurnia Yang Maha Esa

saat menanti tatkala memenuhi temujanji
berbagai persoalan berlegar dalam sanubari
tentang putera dan puteri yang ditinggal pergi
sudahkah mereka sempat bersarapan pagi
sebelum loceng permulaan kelas berbunyi
aku pasrah dan berdoa terhadap Ilahi
semoga mereka belajar juga berdikari

tiba tikanya sang mentari tegak lebih segalah
suriku mendapat rawatan bagai yang sudah sudah
ditanya keadaan serta perkembangan adakah berubah
diperiksa badan serta diambil contohnya darah
dicatatkan tarikh temujanji, ubatan ada dikaunter sebelah
kami ucapkan terimakasih dan syukur kehadrat Allah
kami beredar meninggalkan hospital tanpa berlengah

selesai sudah sessi rawatan untuk hari yang ini
tercatat didalam kad rawatan tarikh yang satu lagi
serta operasi yang akan dimula sekali lagi
contoh sum sum akan diambil dari tubuhnya suri
aku cuma berdoa pada Ilahi didalam hati
moga laranya sang suri beransur pergi
izikan kami mengecapi kegembiraan itu sekali lagi
sehingga sikecil mengerti maknanya berdikari
padaMu yaAllah perkenankanlah permintaan kami!
amin...yaRahman...yaRahim...



.

Sabtu, 14 Mei 2011

penghargaan ( buat saudara Rusman Abu Samah)

penghargaan


.oleh Md Share Abd Ghani pada pada 25hb April 2011 pukul 11.46 ptg.


hari ini , hati jadi hancur luluh
kerna tempatnya kasih berteduh
disapa Pemiliknya dan didatangi geruh
pergilah...pergilah wahai jiwa yang patuh
pergilah wahai nyawa yang bersamanya ruh
pergilah walau untuk kami cuma hati yang berkeluh!
...
mungkin kasih kami buat bonda...
tiada lebihnya dari emas sesaga
manakan sama kasihnya bonda
yang siangnya mendidik dan malamnya berjaga
menghambat sang nyamuk saat beradunya
anakanda lena bermimpikan syurga
...
kini kami pasrah dalam terpaksa
memberikan rela dan airmata
doa kami pada Yang Esa
berikan cahaya lapangkan lahatnya
dialam bonda yang sebelah sana
kerna kami tiada berdaya
sekadar rayuan seorang hamba
terhadap Tuannya pemilik kurnia
sudi apalah kiranya Dia...
...
dan pada hari ini sempurnalah sudah
bersama kasih dan airmata yang tumpah
sungguh dalam sendu kami bermegah
memiliki bonda yang sangat tabah
tiada mengalah disaat yang payah
hayatmu bonda penuh maruah
sehingga saatnya dipanggil Allah
...
seperkara sahaja permintaan kami
sebelum bonda berangkat pergi
kealam sana untuk bersemadi
maafkan akan kesalahan kami
hujung rambut kehujung kaki...

















.

pemurah

pemurah


.oleh Md Share Abd Ghani pada pada 13hb Mei 2011 pukul 7.15 ptg


yang aku sendawakan
dari rezeki sehidangan
walaupun sekadar sambal belacan
serta sedikit ulam ulaman
adalah nikmat kekenyangan
bukannya kemewahan masakan

sedapnya rasa makanan
cuma sebelum ditelan
kerna lidah menentukan
masam , manis ataupun masin
selera kita masing masing

seleranya sesebuah hidangan
cuma sebelum kita kekenyangan
kerana selepas selesai makan
walaupun dihidang menu terbilang
kita ketepikan dengan terkilan
tidak mampu untuk meneruskan

untuk rezeki yang kita sendawakan
usahlah pula kita melupakan
semuanya itu sekadar kemurahan
Yang Maha Pengasih lagi Penyayang
ucapkanlah syukur kepada tuhan
bersedekahlah kita tatkala berlebihan









.

sua

sua


.oleh Md Share Abd Ghani pada pada 06hb Mei 2011 pukul 10.25 ptg.
yang telah aku sua
pada skrin yang berkaca
adalah seorang sahabat lama
tatkala mengemaskini berita
pada buku wajah di laman maya
sungguh...
pertemuan memang milik Yang Esa
biarpun sekadar ucap yang sehala
namun syukur atas perkenan Dia
kerna hati jua tertanya tanya
kini tentulah sudah akan jawabnya

kitapun dah semakin berusia
langkah juga tiada sepanjang mana
mungkin hari ini kalaupun bukan esok dan lusa
yang dipinjamkan kena dikembalikan juga
bersama ucapan terimakasih tiada terhingga
yang pasti kita kan terus bersua
samada sahabat lama ataupun pintu pusara
kita redha dan bersiap apa yang ada

bersua sahabat yang lama
sebelum sempat berkongsi peristiwa
aku mengerti suatu perkara;
tingginya bangau mencabar angkasa
akhirnya dibelakang kerbaulah juga
tempat hinggap dan menjamu selera
seperti asalnya ceritera bermula...









.

Ahad, 8 Mei 2011

juang

juang


.oleh Md Share Abd Ghani pada pada 08hb Mei 2011 pukul 4.26 ptg.

aku tidak merasa untuk berjuang sekarang
walaupun pedang dan parang telah ku asah tajam
biarpun perisai telah ku tempah selesa badan
aku tidak rasa waktunya sesuai sekarang
kerana medan juangku telah kutinggalkan
selepas pertempuran yang jauh dibelakang

aku tidak merasa untuk kalah dan menang sekarang
walaupun rasanya aku sedang berada dihadapan
sedangkan saingan tertinggal jauh dibelakang
aku tidak rasa untuk menerima hadiah dan pujian
kalaupun ada anugerah biarlah untuk hari kemudian
kerana usahaku yang ini cumalah untuk keredhaan
selepas sekian lama bersenang dalam kealpaan

berjuang dan meraikan kemenangan
pada sayembara ciptaan insan
memang manis serta mengasyikkan
mengukir nama membina singgahsana
kemercu jaya dan menghimpun harta
idaman makhluk yang bergelar manusia

merasa kalah dan jatuh kecundang
dinafikan pandangan dan rasa diketepikan
terlalu aib sebagai pengalaman
dipandang rendah dan dilihat lemah
menjadi contoh yang tidak berhemah
adalah cabaran kepada yang kalah

kata orang selagi hidup selagi berjuang
mungkin juga terdapat kebenaran
cuma bedanya pada lapangan
bagiku pula hidup cumalah persembahan
menyatakan terimakasih serta kesyukuran
atas segala yang telah dipinjamkan
barang siapa lebih ikhlas amalan
dan berpesan dengan kebenaran dan kesabaran
kemenangan kan tetaplah didalam genggaman

Selasa, 3 Mei 2011

kita

kita


 .oleh Md Share Abd Ghani pada pada 03hb Mei 2011 pukul 9.00 ptg.

kitalah makhluk itu
yang sering dikenal dengan rupa dan laku
serta diberikan nama mengikut mahu
berbanding pesaingmu
yang kerap dinama dengan warna dan kuku
serta laku yang menurutkan nafsu

kitalah yang dahulu
yang lahir kebumi tanpa berkain serta baju
kealam dunia tanpa akal dan tanpa ilmu
diajarkan nabi tentang akhlak dan rasa malu
berbanding pesaingmu
yang diliputi baju berupa bulu
sering tercemar dengan bau dan kutu
lantaran fitrahnya yang berbeda hala serta tuju

kitalah seperti selalu
yang alpa tentang asal yang dulu
ketepikan beda demi hanya kerana nafsu
mendapat aib, cela serta malu
lantaran kerna perangai yang tiada menentu
yang siangnya mengalahkan hantu
dan malamnya menjelma bak kupu kupu

kitalah makhluk itu
tiada belajar dengan pengalaman dimasa lalu
sering lupa pada pesan ayahanda guru
meringankan tuntutanNya yang lima waktu
sampai masa sedetik tiada tertunggu
pergilah nyawa tinggallah jasad yang kaku
meninggalkan nama meneroka kealam baru
memangnya kitalah makhluk yang itu!











.