ketika kita lenyapkan sengketa dengan airmata
namun belum juga meluahkan yang terbuku didada
masih , kerana biasa meneruskan kehidupan keluarga
cuba kembalikan syurga dari retakan retakan rasa
memadu kasih asmara dengan harapan serta doa
namun curiga telah mengambil tempatnya diantara
mahligai kita kukuh cuma dengan bata prasangka
mungkin sampai masa lidah jujur akan jua terpaksa
biar koyak dinding rasa, biar retak cermin percaya
kerana kebenaran kan punya maharnya juga
...
kehidupan didalam istana syurga pura pura
keikhlasan ibaratnya sebuah agenda yang kedua
kita kongsikan dan kita gaulkan jasad antara kita
namun hati tidak membenarkan pandangan pada mata
selain laku diri ibaratnya lakonan sebuah sandiwara
kitalah mangsa sebuah permainan bergelar duga
juga kitalah jiwa yang disarungkan busana dusta
melakonkan watak dewa suci dari segala dosa
...
dalam menelanjangi diri menghadapi Yang Maha Esa
aku singkap busana dusta pakaian rasmi keluarga
malu dan tidak mampu untuk terus melakonkannya
merayu kepadaNya tunjukkan jalan yang bagaimana
atau setidaknya kurniakan tabah mengharunginya
aku ini buta lagi cela untuk layak dipanggil manusia
kasihankanlah akan diriku tunjukkanlah jalannya
permudahkanlah aralnya ringankan pundaknya
gegaskan langkahnya dan capaikan maksudnya
sebagai rezeki dan hadiah untuk selamanya
...
sesungguhnya menjadi raja didalam syurga pura pura
kekalahan sentiasa menjadi piala pada setiap juangnya
dan kesedihan pula menjadi lagu pada setiap dendangnya
aku ingin menjadi seorang manusia yang biasa biasa
aku ingin memiliki sebuah raga yang mencukupi seadanya
kerana aku tidak mahu terbeban dengan dosa dan dusta
cukuplah dengan apa yang telah teruji dan sudah terduga
izinkan andai permintaan ini tidak berlebihan serta mengada
kerana aku ingin menjadi manusia biasa dan juga hamba
kepadaMu jugalah tempat untuk aku meminta minta...
amin...
...
Lobai:tmn impian putra, bangi