Selasa, 26 Oktober 2010

sungai ini

melihat sungai ini
arusnya yang mengalir lesu
jiwanya berkayu serta berbatu
tiada lagi pasir yang kelabu
membentuk pantai syahdu
semuanya telah disudu
atas nama pembangunan
untuk projek perumahan

anak anak jadi keliru
meneka yang mana satu
sungai dan longkang batu
semuanya sama bau
semuanya sama tuju
semuanya mengalir lesu

ikan ikan meminta tempat
timbul setiap saat
lubuknya sampah sarap
tiada lagi tempat selamat
hidupnya mungkin tamat
tiada sempat berzuriat

sungai yang kulihat ini
hasil tangan yang sumbang laku
malu sendiri akan diriku
andai ditanyakan oleh Pemiliknya
siapakah sipelaku angkara
ciptaan yang tiada tara
musnah dalam sekelip mata!

Selasa, 19 Oktober 2010

tarinya sang suri

tarinya sang suri
pada awal pagi
adalah membangunkan anak anak yang masih bermimpi
menyuruh mereka membersihkan diri memberus gigi
serta mempersiapkan diri bersarapan sebelum pergi
pada pembelajaran sessi pagi
lantas sang suri juga meminta diri
keluar rumah mencari rezeki
meringankan bebanan membantu suami
berdikit dan berdikari
pada tarinya sang suri
tiadakan pernah lupa diri

tarinya sang suri
selepas pulang ditengah hari
bukannya berehat bersantai diri
tetapi memasak juadah dan juga nasi
untuk santapan sekeluarga dihari ini
penat dan lelah diletak ketepi
semuanya ini demi kelangsungan diri
mengabdi kepada keluarga kepada suami
bersabar dan bermuhasabah diri
pada tarinya sang suri
tiadakan pernah berbangga diri

tarinya sang suri
pada malam yang menantikan pagi
adalah hiburan mendendangkan birahi
pada diri dan kepada suami
demi kasih suci yang sejati
terhadap keluarga dan suami yang dicintai
bersyukur serta bersenang hati
pada tarinya sang suri
kasihnya tiada berbelah bagi

tarinya sang suri
pada setiap hari
adalah ratib semangat kepada setiap suami
yang keluar rumah mencari rezeki
membelah lautan menimba bumi
untuk segera kembali
mengikut rentak tarinya sang suri

Khamis, 14 Oktober 2010

mimpi semalam

mimpi aku yang semalam
sebaik mata terpejam
didalam kamar yang suram
mengingatkan aku zaman yang silam
waktu dibangku persekolahan
ada dia ada kamu dan semua rakan taulan
ada suka ada jemu serta semua perasaan
ada nostalgia yang tiada mampu diceritakan!

mimpi aku yang semalam
mengimbau masa yang ditinggalkan
serta sejarah yang telah dilakarkan
betapa tiada terasa masa yang berpergian
cuma usia yang telah mengingatkan
atau mungkin rakan rakan yang telah dipanggil tuhan

mimpi aku yang semalam
masih segar setiap wajah dalam ingatan
masih terngiang setiap bicara yang diucapkan
masih jua terlihat setiap kelibat yang berkeliaran
harus bagaimana pula untuk aku bisa melupakan
mimpi aku yang semalam kesannya amat dalam

pada mimpi aku yang semalam
mungkinkah diri ini digamit rindu yang terpendam
pada kawan rakan taulan yang dulu seperjuangan
atau mungkin nama ini sering jadi sebutan
dalam bicara secawan kopi mereka war warkan
barangkali jua dalam doa yang mereka panjatkan
aku ini tiada daya didalam meneka setiap perkara
cuma hati ini yang terusik dan terasa...
pada mimpi aku yang semalam!

Khamis, 7 Oktober 2010

detik itu

menghampiri detik itu
sesungguhnya amat lara hati ini
mengingati sambil menanti
pada usia yang masih berbaki
sempatkah akan diriku nanti
mencari arah jalan kembali
mensuci dosa membasuh hati
tingkah dan laku dahulu dan kini
terasa amat kejinya diri

detik yang itu
meskipun tanpa rela dan restu
kesanalah hala disana tuju
semakin hampir setiap waktu
begitu pantas masa berlalu
sedang disini menantinya aku
berduka lara bersedih pilu

detik itu
pasti datang seperti yang dijanji
dari sekarang persiapkan diri
sebelum tiba masanya nanti
harta bertimbun tak berguna lagi
anak dan isteri ditinggal pergi
alam yang itu, kekal dan abadi....

Rabu, 6 Oktober 2010

HARGA SEBUAH PERTEMUAN

.oleh Md Share Abd Ghani pada pada 07hb Oktober 2010 pukul 12.32 ptg.


harga sebuah pertemuan
bukan jarak masa yang jadi ukuran
selepas perpisahan yang panjang
mungkin hati yang didalamnya ingatan
atau barangkali saja
memori yang bersamanya nostalgia

harga sebuah pertemuan
pada hati yang bertaut rasa
bukan pula rupa yang jadi ukuran
atau maharnya yang diperbandingkan!
mungkin jodoh yang telah dijanjikan
atau barangkali juga
persefahaman dan permuafakatan
yang telah memungkinkan


harga sebuah pertemuan
sentiasa berubah pada nilainya
pada pertemuan yang dijanjikan
kita nantikan kedatangannya
akan tetapi pada yang disebaliknya
kita tangguhkan bertunda tunda

harga sebuah pertemuan
mungkin tangisan dan airmata
atau senyuman tawa gembira
pada harga sebuah pertemuan
mungkin lebih mudah untuk ditentukan
daripada pahitnya perpisahan!









.

Sabtu, 2 Oktober 2010

KAMI INI RINDU

mengintai mutiara pada Ramadhan

pada ganjil sepuluh malam terakhir
mengharap rahmat bak seribu bulan
tiada lain selain mengharapkan keredhaanNya
betapa didalam merendahkan sujudku
...dan membarisi surah demi surah
ya Allah.... redhakanlah syurga untuk kita
kami ini....
tiada kudrat tiada upaya
memohon redha mengemis syurga
kasihanilah kami...insan insan yang rindu
pada desa Jannah...kepada suami Aishah

Jumaat, 1 Oktober 2010

BUKAN LAGI RAHSIA

pabila dua rasa berjumpa
meskipun diperbatasan maya
diri takkan mampu untuk mendusta
ada mesra ,ceria tak terkata
menjelma semula kenangan lama
ketika usia muda remaja
pernah dahulu bermain mata
meskipun kini beranak tiga
rahsia yang bukan lagi rahsia
kita masih punyai rasa
biar bukan namanya cinta
sekadar mengulit kenangan lama
antara memori dan nostalgia

kita akur kekangan masa
serta takdir yang ditentukanNya!
terasa tinggi pucuk nan dicita
padah pula selera mengidamkannya
lantaran kita yang bertentangan hala
tiadakan bertemu hujung dan pangkalnya

dan rahsia....
yang bukan lagi namanya rahsia
selepas isihati berjaya dibaca
khabarkan kepada sipemunya rasa
seumur hidup mengganggukkan kepala
belumkan tentu jawapannya IYA!