Jumaat, 30 Mac 2012

gurindam dang suryah

gurindam dang suryah

terselak auratnya Dang Suryah

sopak kudisnya terserlah
aib sang suami yang dimegah
al Jahim menambahkan jumlah

syaitan meminjamkan wajah
watakpun melakonkan sanggah
retak menantyikan belah
dan talak hampir terjumlah

aduh aduh Dang Suryah
memilih kawan yang salah
nasihat menjadi sumpah
sokong membawalah rebah!


Lobai:tmn impian putra, bangi

Sabtu, 17 Mac 2012

hari istemewa

hari istemewa

oleh Md Share Abd Ghani pada pada 18hb Mac 2012 pukul 1.11 pagi ·

hari lambat terasa
nanti berdebar rasa
rindu menggegar dada
mimpi mengganti sua
...
senyum semanis halwa
lirik mata dan tawa
indah seribu bunga
harap menjadi nyata
...
duduk disinggahsana
hanya aku dan dia
saksi sanak saudara
bahagia jelas terasa
...
masanya pastikan tiba
sumpah menjadi nyata
lafaz juga maharnya
hati bergabung jiwa
...
bila tiba waktunya
janji bagai dikota
kanku serahkan jiwa
milikku selama lama
...
pimpin tunjukkan hala
gerbang pintunya syurga
kita bersama sama
layarkan bahtera cinta
...
hari yang istemewa
hanya menanti masa
sabar tiadakan lama
masanya kan tiba jua
...
Lobai:tmn impian putra, bangi

sesekali

sekali

oleh Md Share Abd Ghani pada pada 18hb Mac 2012 pukul 1.08 pagi 

sekali didalam hidup ini
biarlah hasrat seiring naluri
dalam sunnah didahului nabi
aku ingin berkongsi mimpi
bersama seorang lelaki
...
hati ingin mengenali
peribadi seorang suami
mendalami hati dan budi
mewarnai hari demi hari
yang dahulunya sendiri
...
syukur kehadrat Ilahi
tersingkap tirai besi
perkenankan doa kami
dan rasapun bersemi
bertaut sekeping hati
...
untukmu ku berjanji
setia memperhamba diri
memberikan cinta sejati
harapnya dikau kan sudi
terima kekurangan diri
...
sekali didalam hidup ini
kuambil langkah yang paling berani
kealam baru yang tak bisa ku kembali
dan sekali didalam hidup ini
aku sandarkan harap didada seorang lelaki...
...
Lobai:tmn impian putra, bangi untuk along

pabila mimpi enggan menyanyi

pabila mimpi enggan menanyi

oleh Md Share Abd Ghani pada pada 12hb Mac 2012 pukul 12.40 pagi 

Bila mimpi enggan menyanyi
Tidurku jadi lena tersunyi
Bening malam kehilangan seri
Tika rembulan sembunyikan diri
...
Kemana negeri harus ku cari
Dimana rajuk membawa diri
Bagaimana bintang hendak menari
Dipentas awan dilangit tinggi
...
ch.
Oh...Kembalilah wahai sang pari pari
Terbangkan semula mimpiku ke sini
Dari alam yang serba jadi
Dalam rahmatNya Yang Maha memberi
...
Oh...Usah Kau tega melihat ku begini
Ke hujung benua menggapai mencari
Terbangkan semula mimpiku ke sini
Biarpun seketika cukuplah nanti
...
Bila mimpi enggan menyanyi
Tidurku jadi lena tersunyi
Bening malam kehilangan seri
Tika rembulan sembunyikan diri
...
Kemana negeri harus ku cari
Dimana rajuk membawa diri
Bagaimana bintang hendak menari
Dipentas awan dilangit tinggi
...
Lobai:tmn impian putra, bangi

laut

laut

oleh Md Share Abd Ghani pada pada 7hb Mac 2012 pukul 9.35

hari ini kami ke laut
menyaksi pasang dan surut
membeza untung dan susut
antara kemas dan kusut
...
pantai yang basah
belum bisa marah
biar desah menyimbah
dan sergah menyanggah
...
ombak yang gagah
bisakah kamu mengubah
tohmah juga fitnah
jadi jujur dan amanah
...
bayu yang lemah
bisikkan hadis dan surah
azankan sedekah dan ziarah
solatkan doa dan pasrah
...
hari ini kami ke laut
banyak yang mampu dipungut
karang dan kerangka siput
kebenaran dan juga hakikat
...
Lobai:tmn impian putra, bangi

seperdu janji

oleh Md Share Abd Ghani pada pada 1hb Mac 2012 pukul 7.59 ptg

seperdu janji janji
tumbuh selepas hujan pagi
selepas pintu hati tersibak serelanya
selepas sekian sepi bertamu semaunya
hari ini seperdu janji janji
kau ikrarkan seikhlas hati
...
tunas tunas yakin
mewaraskan segala yang mungkin
sekian lama curiga bermastautin
kau ukir pintu syurga digerbang pelamin
dan aku pasrah tatkala tanganku kau pimpin
tinggalkan sepi silam yang masih leka bermain
...
pucuk cita cita
bawalah aku kemana sahaja
asalkan disana ada bahagia bak janji yang kau tempa
dakaplah aku, bisikkan rayu yang melumatkan hatiku
kelak kan kutahu hanya dirimu untukku
sehujung nyawa kan berbakti kepadamu
...
dahan dahan bahagia
merendang menongkah masa
seperdu janji telah melengkapi kitaran hidupnya
hanya menanti detik yang bahagia
debar dan sabar sama didalam dada
doa dan damba padaNya dan dia...
...
seperdu janji
hayatnya selagi izin Ilahi
dan hujan pagi
masih menyanyi lagu yang takkan kau mungkiri
...
Lobai:tmn impian putra. bangi

ku ucapkan untukmu isteriku

ku ucapkan untukmu isteriku

oleh Md Share Abd Ghani pada pada 17hb Februari 2012 

Yang dikongsi itu hati
yang dinanti itu budi
yang dicari pula sejati
dan yang dikasihi isteri
...
Tiada ayat dapat mengganti
tiada bahasa mampu mewakili
cintaku tulus kekal bersemi
mengharap kamu sentiasa disisi
...
Selamat ulangtahun duhai isteri
dariku seikhlasnya hati
moga ceria bahagia abadi
bertambah sihat hari ke hari
...
tiada aku bisa mengganti
airmatamu jatuh dipipi
melainkan doa kehadrat Ilahi
kurniakan syurga sebagai ganti
...
resah sedih silih berganti
mendapat berita yang dinanti
rawanmu takkan terubati
meskipun pakar luar negeri
...
usah kamu menyesali diri
sama sama kita hadapi
aku kan telah berjanji
akan selalu berada disisi
...
dalam kita berkongsi hati
tentu fitnah dan juga iri
setiap arah datang menguji
jangan mengalah usah perduli
...
sempena ulangtahunmu di ini hari
tiada persembahan dapat kuberi
melainkan lidah yang jujur sekali
jadikan ucapku tangkal dihati
...
Lobai:tmn impian putra buat sang suri Noorwatie Zainal Abidin