Ahad, 16 Mac 2014
KISAH CUCUR BONDA
Kisah Cucur Bonda
Oleh: md share abd ghani
Cempedak tua
Yang ditugal ayahanda
Di hujung kebun kelapa
Hampir terhidu akan harumannya
Cantuman baka dari keratan dahanan nangka
Di ziarah sepanjang masa
Oleh sang tupai jenjang bersama sang ungka putih muka
Malah jua di puja
Sang landak yang musimnya sedang berbadan dua
Cempedak tua mengimbau luka
Kerinduan kita pada gemulah ayahanda
Betapa setiap butir putik dikiranya
Sampai masa tatkala anak anak kera mengugurkan kudupnya;
amukan ayah keras menggila
Kata ayahanda: buah itu untuk anak cucunya
Yang kan pulang setiap bulan tua
Cempedak tua
Buahnya yang tebuk berongga di cucur bonda
Kata bonda tidak mengapa
Jika sekali sekala
Berkongsi habuan dengan tupai dan kera
Usah membazir rezeki dariNya
Begitu bonda rendah bersuara
Dan kini
Musim cempedak tua kembali
Bukan dari kebun kelapa ayahanda
Kerna selepas ayah tiada,
Kebunnya telah berganti nama
Dengan seorang taukeh cina
Yang berjaya memujuk abang yang tua
Dengan jentera berlambang bintang tiga!
Cempedak tua
Musimnya lebat dipinggir jalanraya
Menjadi nostalgia
Jua bahan jaja
Lobai: tmn impian putra
bangi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan